ღ¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ
بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم
ღ¸.•*¨*•*¨*ღ¸.•*¨*•*ღ
...السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Jika kita ada terdengar kisah seorang yang berjaya dalam hidupnya, akan ada juga kisah seorang individu yang kecundang dalam usahanya. Jika seorang pelajar mendapat 10A, ada ramai lagi yang tidak mendapat satu A sekalipun. Turun naik hidup yang tidak menentu menyebabkan ramai yang mengambil jalan mudah - jika sudah tidak berjaya, salahkan sahaja nasib yang sudah menjadi ketentuan! "Itu salah nasib, Itu kehendak takdir. Itu bukan salah saya". Mungkin ya, jika pada waktu itu pelajar tersebut kurang sihat dan tidak dapat belajar dengan baik.
Walau apa pun, perasaan risau dan gundah akan tetap menari-nari, berlegar dan bersarang dalam kotak fikiran. Kerisauan itu sebenarnya racun yang boleh membunuh keyakinan diri.
Apabila Dr. Coleman menulis tentang kepentingan mengawal emosi (Emotional Intelligence) sebagai sesuatu yang lebih penting daripada IQ, dia memberi penekanan kepada kawalan diri. Seorang yang gagal mengawal emosi yang membuak-buak akan kalah pada peringkat awal kerana 'pengawal' dan 'pengatur' gerak langkah dan tindakannya bukan lagi fikiran yang objektif tetapi perasaan yang mungkin gagal menilai kebaikan tindakan tersebut.
Tidak salah jika kita risaukan masa depan kita yang beluum pasti, projek yang belum menjadi, dan sebagainya. Tetapi, yang menjadi masalah adalah apabila risau itu menjadi kerunsingan (anxiety) yang amat menggangu. Kerunsingan 'a futuro' (sesuatu pada masa akan datang) sebenarnya kerusingan terhadap sesuatu yang belum wujud lagi tetapi kita 'berasa' akan datang melihat kepada keadaan yang berlaku hari ini. Oleh itu, walau bagaimana tepat sekali pun 'jangkaan' kita terhadap masa depan, kita tidak boleh terlalu bergayut dengan kesilapan silam dan takut untuk membuka tabir baru.
Seorang yang tenang dan tidak gelisah dengan cabaran akan sentiasa melihat sesuatu perkara itu daripada kaca mata yang positif bahawa hal itu merupakan sesuatu yang membina. Tidak semua anak kecil perlu tahu membaca pada usia tiga tahun. Tidak semua orang perlu tahu berbahasa Inggeris dengan baik. Hal-hal seperti ini, walaupun penting, bukannya tiket kejayaan semata-mata. Kita mungkin anggap diri kita cacat atau kurang kemahiran. Tetapi, janganlah pula dianggap sebagai cela yang meruntuhkan keyakinan diri untuk berjaya.
Kita boleh bersusaha melakukan banyak perkara tetapi pada masa yang sama, kita perlu menerima hakikat bahawa setiap manusia akan mempunyai pengalaman hidup yang berbeza. Karpal Singh, mungkin tidak mendapat kelulusan yang baik di universiti. Tetapi, ini tidak bermakna dia tidak berjaya dalam hidupnya. Malah, rekodnya lebih cemerlang daripada peguam-peguam lain yang dikatakan lebih baik kelulusannya. Bayangkan, berapa ramai lagi yang tidak langsung dapat masuk universiti?
Kita boleh katakan bahawa 'pengalaman hidup saya berbeza'. Namun, kata-kata seperti ini sekadar 'penyedap hati' untuk memulihkan keyakinan diri. Kita tidak boleh sekali-kali pula menggunakannya untuk memberi alasan munasabah mengapa kita tidak perlu mencabar untuk berusaha.
Dalam isu cabaran ini, ahli falsafah Islam, Dr. Iqbal, banyak mengutarakan kepentingan kita mengasak dan mengajak diri untuk melalui hidup yang mencabar. dalam konteks seorang Muslim, Dr. Iqbal mengatakan bahawa seorang yang memanggil dirinya seorang Muslim itu perlu bertindak seperti seekor helang yang gah terbang di angkasa.
Terdapat tiga sifat helang perlu dicontohi oleh orang Islam
Pertama:
Seekor helang, tidak bertindak seperti helang yang memakan bangkai. Helang yang tidak makan benda-benda kotor atau sesuatu yang busuk.
Kedua:
Seekor helang, jika terbang, tidak akan menukar arah dengan menjunam ke bawah sekiranya angin deras datang dari arah bertentangan. Burung-burung lain buat demikian tetapi tidak sang helang. Sebaliknya, helang akan terbang ke atas untuk mengelak angin yang datang dari arah bertentangan itu. Kedudukannya jauh lebih tinggi dari daripada burung-burung lain.
Ketiga:
Sang helang tidak mencari tempat yang selamat untuk hidup. Sarangnya biasanya didapati di celah-celah gunung yang berbatu yang berbahaya.
Seorang Muslim juga, kata Dr. Iqbal perlu begitu. Dia tidak boleh 'terlalu selesa'. Muslim yang hidup tanpa cabaran, bukanlah Muslim sebenar. Dia perlu lebih berdaya maju daripada orang lain, lebih suci dan bersih pemakanannya dan yang pasti lebih mencabar hidupnya kerana objektif hidupnya semata-mata ingin menegakkan agama Allah s.w.t. Seorang Muslim yang terseksa, terpenjara, dan terkorban kerana memperjuangkan sesuatu yang benar lebih mulia hidupnya daripada orang yang 'berjaya' dari segi material tetapi hidupnya terlalu 'selesa' kerana mengabaikan tanggungjawapnya sebagai Muslim.
Walaupun kita sekadar belajar, kita perlu mencabar diri kita. Kejayaan adalah apabila kita berjaya melakukan sesuat yang sebelum itu dianggap mustahil. Kerisauan hanya perlu untuk kesedaran. Selepas itu, kita tidak ada masa lagi. Kita hanya perlu menolaknya ke tepi.
Nukilan : Fahda Nur Ahmad Kamar
Majalah Siswa - Catatan Remaja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan